comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pereka dalaman dibunuh kejam dengan lebih 20 tikaman

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Mayat lelaki dengan lebih 20 kesan tikaman ditemui di sebuah pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, maklumat awal mendapati, mangsa, lelaki warga tempatan berusia 36 tahun merupakan seorang pereka dalaman secara ‘freelance.’

Pihaknya menerima laporan daripada orang awam sekitar jam 1 pagi tadi, yang mendakwa terdengar pergaduhan antara mangsa dan seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti.

“Pengadu memaklumkan tidak melihat jirannya itu keluar dari rumah selepas pergaduhan dan bertindak menghubungi pihak polis.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menghala ke sebuah apartment, Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara bagi menjalankan siasatan awal.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian telah menemui seorang lelaki warga tempatan berumur 36 tahun telah meninggal dunia disyaki akibat daripada kecederaan tikaman dan disyaki dibunuh oleh seseorang yang belum dikenal pasti,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa tinggal berseorangan dan polis tidak menolak kemungkinan kes mempunyai kaitan dengan cubaan samun atau rompak hingga menyebabkan kematian.

“Kita tidak menolak kemungkinan kes ini berpunca daripada pecah rumah bertukar kepada kejadian samun dan menyebabkan kematian,” katanya.

Sementara itu, Norshahrul berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan terus dengan menghubungi pihak IPD Petaling Jaya melalui talian 03-7966 2222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini