comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penyeludup tinggal ganja bernilai lebih RM200,000 di tepi batuan pesisir pantai

KANGAR: Cubaan menyeludup dadah bernilai lebih RM200,000 ke negara ini gagal apabila berjaya dipatahkan oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Perlis yang menemui 84.67 kilogram (kg) ganja ditinggalkan di tepi batu pesisir pantai di Simpang Empat, di sini pada Isnin lalu.

Kejadian berlaku sekitar jam 7.30 pagi apabila sepasukan anggota Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan dadah yang berlaku di kawasan atas batu pesisir pantai Kampung Pulau, Simpang Empat.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, ketika anggotanya tiba di kawasan itu, mereka ternampak dari jauh sebuah sampan enjin sangkut bergalah (ekor biawak) dengan dua orang lelaki di dalam sampan itu baharu sahaja selesai meletakkan dua bungkusan berwana merah jambu di atas kawasan berbatuan itu.

“Selepas sampan dipercayai sindiket daripada negara jiran itu meninggalkan kawasan itu, pemeriksaan anggota kita kemudian menjumpai dua bungkusan berwarna merah jambu yang disyaki mengandungi ketulan mampat dadah jenis ganja.

“Anggota kastam berkenaan menunggu dan memeriksa sekitar kawasan itu untuk melihat kelibat orang yang akan mengambil atau menuntut bungkusan berkenaan namun tiada sesiapa yang datang mendekati dan mengambil bungkusan itu.

“Dari kejauhan kawasan itu, kita ternampak sebuah lagi bot yang dipercayai ‘tonto’ mengawasi kawasan itu dari jauh sambil memerhatikan gerak geri anggota kita yang berada di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kompleks Kastam Negeri Perlis, di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan selanjutnya pada bungkusan itu membongkar 80 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 84.67 kg dengan nilai RM262,477 dimana jumlah berkenaan mampu diedarkan kepada lebih 420,000 penagih dadah di negara ini.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan membawa bekalan ganja berkenaan dari negara jiran melalui jalan laut dan mereka kemudian akan meletakkannya di pesisir pantai sebelum diambil oleh pihak ketiga bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Kita percaya ganja ini akan cuba dipasarkan di negeri selain Perlis dan menjadikan negeri ini sebagai transit untuk pengedaran ganja berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dimana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini