Tumpuan :
Jenayah

Penyeludup lari tinggalkan 110 tong dram berisi petrol

Pasukan Polis Marin Kudat merampas 110 tong dram berisi petrol yang cuba diseludup ke negara jiran. FOTO: Ihsan Pasukan Polis Marin

KUDAT: Terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM), sekumpulan individu yang disyaki sedang menjalankan aktiviti menyeludup petrol bertempiaran melarikan diri.

Dalam serbuan jam 9.30 pagi semalam di Jeti Kampung Pagasaon, Pitas, PPM merampas 110 tong dram berisi petrol yang ditinggalkan di kawasan hutan paya bakau.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika sedang melakukan rondaan di kawasan jeti berkenaan, beberapa individu yang tidak dikenali berada di atas pam bot sedang memunggah tong dram yang disyaki berisi petrol.

“Pasukan PPM kemudian bergegas menuju ke hujung jeti ke tempat pemunggahan berkenaan.

“Menyedari kehadiran PPM, semua suspek bertindak melarikan diri menggunakan bot pam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi itu menemui 55 tong dram warna biru dan setiap tong berkapasiti 200 liter petrol.

“Turut ditemui 55 lagi tong dram plastik dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM40,000.

“Semua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Beliau berkata, semua petrol berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini