comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penyamun rumah Khuzaimi Piee sudah diberkas

SHAH ALAM: Identiti geng pecah rumah milik pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, Mei lalu, terjawab apabila dua suspek lelaki berjaya diberkas polis di Marang, Terengganu, 26 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan dua suspek masing-masing berusia 28 dan 33 tahun itu juga mengesahkan kes berkenaan tidak ada kaitan dengan insiden membabitkan beberapa pemain bola sepak lain.

Hussein Omar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. – FOTO: NSTP

Katanya, tangkapan terhadap dua suspek itu dilakukan sepasukan polis dari Unit Risikan / Operasi / Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, IPK Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Suspek ditangkap selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika sedang dijejak pasukan polis.

“Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam sembilan kes pecah rumah, melarikan kenderaan dan samun di sekitar Selangor (dua kes); Terengganu (tiga kes); Pahang (dua kes) dan Melaka (dua kes),” katanya pada sidang media di IPK Selangor di sini, tadi.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barang antaranya sebuah kereta Honda City; sebuah motosikal Yamaha Y15ZR; beg pelbagai jenis dan jenama; telefon bimbit serta komputer riba yang mana keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM55,000.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah Methamphetamine dan mereka dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

“Polis kini dalam tindakan untuk melengkapkan siasatan dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, media melaporkan kediaman pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.

Menurut laporan polis, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.

Beberapa insiden membabitkan pemain bola sepak turut berlaku sebelum itu antaranya pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang cedera akibat disimbah asid pada 5 Mei di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.

Pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid pula mengalami kecederaan di kepala dan kaki dalam kejadian samun pada 2 Mei di Kuala Terengganu.

Pada 7 Mei pula, cermin belakang kereta dipandu pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim dipecahkan berhampiran pusat latihan JDT di Sri Gelam, Johor Bahru.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini