comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penyalahgunaan dadah paling serius di Pendang, Kedah – Saifuddin

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan 1,333 individu terbabit penyalahgunaan dadah di daerah Pendang, Kedah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata data itu diperoleh hasil pemetaaan yang dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari himpunan data dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pusat pemulihan narkotik swasta.

Data berkenaan dibentangkan pada mesyuarat kabinet semalam berkaitan ‘World Drug Report 2023’ yang menunjukkan trend meningkat.

Katanya dari empat sumber yang dikumpul, menjadikan ia data lengkap dan boleh dipercayai.

“PDRM melakukan analisis dan dicerakinkan dan merumuskan dua kaedah berkaitan nisbah penyalahguna dadah iaitu perbandingan dengan 100,000 penduduk dan 10,000 penduduk. Apabila kita buat ‘mapping’ (pemetaan), terhasil keputusan bagi 100,000 penduduk yang mana penyalahgunaan paling serius adalah di Pendang iaitu 1,333 orang,” katanya.

Jelasnya jumlah itu melepasi nisbah angka ideal kebangsaan yang ditetapkan sebelum ini iaitu 432 penyalahguna dadah bersamaan dengan 100,000 penduduk.

Tahun ini pihaknya menyasarkan untuk mengurangkan jumlah itu kepada 400 orang.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penutup Dialog Khas II PDRM 2024 yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi.

Tambahnya selain Pendang, beberapa daerah lain di Kelantan dan Terengganu iaitu Machang, Bachok, Besut, Dungun, Kemaman dan Marang turut merekodkan jumlah penyalahgunaan dadah tinggi.

“Data yang kita dapat itu sangat granular (rawak) dan ia memberikan kita data mengenai latar belakang kes mengikut kaum, taraf pendidikan, segmen pekerjaan dan pendapatan isi rumah. Kita dapati kelompok ramai terlibat (dadah) ialah daerah hampir 100 peratus komunitinya Melayu, dan bekerja di sektor swasta serta penganggur dengan kelayakan pendidikan minimum SPM (Sijil Persekolahan Malaysia) dengan latar belakang dari keluarga B40 dan M40 (bawah),” ujarnya lagi.

Mengenai pendekatan yang akan dilaksanakan hasil daripada data diperolehi, pihaknya akan memperhebatkan program dan aktiviti di kawasan yang mempunyai jumlah penagih yang ramai.

Beliau memaklumkan dalam tempoh enam bulan ini, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi akan merancang beberapa pendekatan dan menggerakkan agensi yang terlibat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini