comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Penularan gambar mayat Zayn Rayyan: Polis buka kertas siasatan

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung penyebaran beberapa gambar dikatakan mayat kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, satu laporan polis dibuat Pegawai Penyiasat kes susulan penularan antara gambar bahan bukti kes berkenaan.

“Polis akan mengesan individu yang disyaki terbabit penyebaran itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88),” katanya.

Terdahulu, dua gambar memaparkan keadaan Zayn Rayyan selepas ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, dimuat naik di aplikasi Telegram, malam tadi.

Sebelum itu pernah tular kertas siasatan pembunuhan kanak-kanak berkenaan di aplikasi sama.

Pada 13 Jun lalu, ibu dan bapa Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat anak kandung mereka ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini