Tumpuan :
Jenayah

Penternak rugi RM40,00, 16 lembu mati diracun 

Mohamad Saad, melihat bangkai lembu bergelimpangan di kebunnya
Kampung Seri Kenangan, Sungai Tong, Setiu hari ini.- Foto: NSTP

SETIU: Seorang penternak mengalami kerugian kira-kira RM40,000 selepas 16 ekor lembu miliknya mati disyaki diracun.

Dalam kejadian pagi semalam, Mohamad Saad, 62, dari Kampung Seri Kenangan, Sungai Tong, di sini, berkata dia tidak mahu menuduh sesiapa, tetapi berasa kecewa apabila mereka berbuat demikian.

“Saya tidak pergi ke kebun petang semalam kerana tidak sanggup melihat haiwan peliharaan mati akibat perbuatan khianat,” katanya.

Mohamad berkata, dia mengetahui kejadian terbabit selepas dimaklumkan penduduk kampung kira-kira 5 petang semalam.

“Pada awalnya, adik saya Khairuddin, 52, beritahu terjumpa bangkai seekor lembu kira-kira 7 pagi semalam, namun saya sangka mungkin hanya seekor sahaja yang mati.

“Namun, kira-kira 5 petang ada penduduk terjumpa lagi beberapa bangkai lembu di kawasan sama dan anak saya, Naqiuddin, 32, segera ke kebun untuk melihatnya,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, anak menghubunginya bagi memaklumkan terdapat 16 ekor lembu peliharaan bersama adiknya ditemukan mati bergelimpangan di kawasan kebun seluas kira-kira 1.62 hektar.

“Anak melihat ada tiga biji tong disyaki untuk diletakkan air dicampur dengan racun. Jika ada pihak tidak berpuas hati mungkin ada lembu saya merosakkan tanaman sepatutnya mereka datang berbincang.

“Saya sanggup membayar jumlah kerugian dialami mereka bukan dengan bertindak kejam seperti ini,” katanya.

Katanya, insiden sama pernah berlaku dua tahun lalu apabila enam ekor lembu milik adiknya menjadi mangsa disyaki diracun.

“Laporan polis serta laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sudah dibuat untuk menyiasat punca sebenar kematian semua haiwan ini.

“Saya reda dan anggap ujian ini untuk kami sekeluarga, namun berharap kejadian sama tidak akan berlaku kepada penternak lain,” katanya.

Loading...
Terkini