Tumpuan :
Jenayah

Penjenayah rempuh kereta peronda polis, motosikal

Tangkap layar video tular menunjukkan pasukan peronda polis menahan penjenayah yang merempuh kereta pasukan itu dan penunggang motosikal ketika cuba melarikan diri daripada sekatan di Petaling Jaya, hari ini. – Foto video tular

PETALING JAYA: Tindakan dua penjenayah yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) dan merempuh kenderaan peronda polis tidak berhasil apabila berjaya diberkas pasukan terbabit di Ara Damansara di sini, hari ini.

Dalam kejadian 11.32 pagi, kedua-dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun yang menaiki kereta Proton Satria turut melanggar seorang penunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian berlaku di Kilometer 16 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) apabila suspek bertindak memandu kereta secara melawan arus kerana cuba lari daripada sekatan polis.

“Pasukan peronda bertindak mengejar kenderaan suspek sehingga di Jalan PJU 1A/1 Ara Damansara sebelum suspek melanggar kenderaan peronda dan sebuah motosikal ditunggang orang awam.

“Dalam insiden itu, kedua-dua suspek berjaya ditahan pasukan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui sejumlah dadah jenis syabu anggaran berat 12.87 gram dan alat renjatan elektrik.

Menurut Shahrulnizam, hasil semakan mendapati suspek pertama yang juga pemandu kereta mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk dadah manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Kata beliau, kedua-dua suspek kini dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186/279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya 1958.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah atau individu mencurigakan di daerah ini kepada polis dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini