
JITRA: Penjenayah yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Kechik, Napoh, Changlun dekat sini telah melepaskan dua das tembakan sebelum ditembak oleh anggota polis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah yang melakukan rondaan Op Laras di kawasan kejadian ternampak sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata polis meminta suspek berhenti untuk membuat pemeriksaan sebaliknya suspek enggan dan terus melepaskan tembakan.
“Polis yang ketika itu cuba mempertahankan diri, membalas empat das tembakan yang mengenai dada kirinya menyebabkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, malam ini.
Hadir sama, timbalannya Deputi Komisioner Adzli Abu Shah dan Timbalan Ketua JSJ Kedah, Wan Azharuddin Wan Ismail.

Fisol berkata semakan awal mendapati suspek dipercayai warga tempatan berusia 57 tahun dan mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah dan senjata api tiruan.
Beliau berkata, pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan dua pucuk pistol dan 240 butir peluru.
“Peluru yang ditemui adalah 9 milimeter (mm) 100 butir, .38 juga 100 butir serta peluru 5.56 yang digunakan untuk senjata rifle seperti M-16,” jelasnya.
Pemeriksaan menyeluruh masih dilakukan oleh Unit Forensik dan pasukan JSJ Kedah.
Fisol berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Beliau berkata pihaknya juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada suspek terlibat dengan mana-mana sindiket atau sebaliknya.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di kawasan Jalan Bukit Kechik, Napoh, di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, suspek berketurunan Cina ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan badan berlumuran darah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.