JOHOR BAHRU : Seorang penjawat awam antara sembilan ahli sindiket pengedaran dadah di Johor yang ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1 juta.
Selain lelaki berusia 33 tahun itu turut ditahan lapan lelaki dan tiga wanita termasuk sepasang suami isteri kesemuanya berusia antara 19 hingga 34 tahun.
Timbalan Ketua Polis Johor Deputi Komisioner M. Kumar berkata kesemua suspek ditahan dalam sembilan serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing antara Rabu lalu hingga semalam.
“Dadah yang dirampas adalah 21 paket syabu seberat 24.69 kilogram (kg) bernilai RM888,912; 10 paket heroin seberat 3.56 kg bernilai RM47,717 dan 337 gram (g) ketamin bernilai RM50,550.
“Turut dirampas 2,540 biji pil Eramin 5 seberat 787.58g bernilai RM59,058, 1.20 liter air ketum bernilai RM30 keseluruhannya berjumlah RM1,046,277.50,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.
Kumar berkata modus operandi sindiket berkenaan yang telah beroperasi sejak Disember lalu dengan menjadikan rumah jenis berpagar dan berpengawal dan kereta sebagai stor simpanan dadah berkenaan.
Selain dadah, polis turut merampas 70 paket mengandungi mercun bola yang turut dijual sindiket berkenaan.
Turut disita enam kereta, empat motosikal, wang tunai RM2,710 dan pelbagai barang kemas keseluruhannya bedjumlah RM653,566.
Semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah manakala ujian air kencing seorang suspek didapati positif dadah jenis ketamin.
Kesemua suspek ditahan reman sehingga 14 Februari ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.