KERIAN: Akibat terpedaya kononnya akan untung besar, seorang melabur sehingga RM870,000 dan kerugian semua wangnya itu.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri peniaga terbabit cuma mendapat pulangan RM1,000 pada peringkat awal pelaburannya. Namun tanpa disedarinya, ia cuma taktik sindiket itu untuk memperdaya mangsa.
Mohd Yusri berkata pada 24 Jun lalu lelaki berusia 54 tahun terbabit dihubungi seorang wanita yang memaklumkan dirinya mendapat keuntungan besar dalam pelaburan mata wang kripto.
Menurutnya lagi, mangsa mula terpengaruh untuk membuat pelaburan dalam jumlah yang besar selepas dia mendapat semula wang pelaburan asalnya sebanyak RM5,000 dan keuntungan RM1,000.
“Mangsa yang terpedaya sekali lagi telah membuat beberapa traksaksi ke atas tiga akaun bank yang diberikan dengan nilai RM870,000. Mangsa dikatakan dijanjikan keuntungan sebanyak RM1.5 juta dan suspek juga meminta bayaran proses sebanyak 30 peratus,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya lagi merasakan dirinya telah ditipu apabila tidak menerima sebarang bayaran, mangsa tampil ke IPD Kerian dan membuat satu laporan polis, semalam.
Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.