KUANTAN: Seorang peniaga berusia 67 tahun dari Temerloh rugi RM117,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud melalui aplikasi WhatsApp.
Dalam laporan diterima polis semalam, mangsa menjelaskan, pada 8 November lalu, dia ditawarkan menyertai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.
Suspek juga mendakwa dia berjawatan tinggi dalam Bursa Saham dan menyatakan tiada cukai pelaburan dikenakan sekiranya menyertai pelaburan pada hari berkenaan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa kemudian membuat sembilan transaksi wang simpanannya ke lapan akaun bank berlainan yang keseluruhannya berjumlah RM117,000.
“Mangsa mula menyedari ditipu apabila gagal berhubung dengan suspek dan tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan. Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan sebelum menyertai sebarang pelaburan dalam talian untuk mengelak menjadi mangsa penipuan dan tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan menjanjikan keuntungan lumayan.
Semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima boleh dibuat di pautan https://semakmule.rmp.gov.my.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.