Tumpuan :
Jenayah

Peniaga nasi lemak dicekup, dipercayai dera anak tiri

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Angkara bapa tiri, kanak-kanak lelaki 7 tahun dipercayai jadi mangsa dera.

Penderitaan mangsa berakhir semalam selepas polis menahan suspek dan juga ibu kandung kanak-kanak itu di sebuah rumah di Taman Sri Rampai, Setapak, di sini.

Kejadian yang menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menerima laporan daripada jiran membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, laporan pegawai JKM itu diterima pihaknya petang semalam.

“Bertindak atas laporan, sepasukan polis ke lokasi pada kira-kira jam 8 malam, lalu menahan ibu kandung mangsa berusia 35 tahun dan bapa tiri berusia 37 tahun.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat beberapa kesan lebam dan rotan di kaki serta pipi.

“Mangsa adalah anak tunggal suspek wanita dan kemungkinan didera antara seminggu atau dua minggu lalu berdasarkan kesan kecederaan mangsa yang masih baharu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Taman Bukit Cheras di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa sudah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, suspek yang juga peniaga nasi lemak mendakwa mendera kanak-kanak itu kerana nakal.

Menurut Mohd Shuhaily, semakan polis mendapati suspek lelaki positif dadah methamphetamine manakala isterinya negatif.

Katanya, pasangan terbabit direman lima hari bermula hari ini sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Loading...
Terkini