NILAI: Seorang peniaga berputih mata apabila menjadi mangsa penipuan sindiket yang menyamar sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerugian mencecah RM655,000.
Mangsa difahamkan dihubungi dan dimaklumkan bahawa terdapat pihak yang menyalahgunakan namanya bagi pendaftaran sebuah premis sebelum diperdaya kononnya nama turut terbabit dengan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 31 tahun itu kira-kira jam 11.15 pagi tadi.
“Kaunter Aduan Balai Polis Mantin terima satu aduan daripada mangsa yang menyatakan pada 21 November lalu, pengadu terima panggilan telefon daripada seorang individu.
“Suspek menyamar sebagai wakil dari pejabat TNB berkenaan premis yang kononnya berdaftar atas nama pengadu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sambung beliau, panggilan kemudiannya dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan pengadu dimaklumkan bahawa akaun miliknya digunakan untuk penggubahan wang haram.
“Pengadu kemudian dikatakan memindahkan wang ke dalam 11 akaun yang diberikan suspek untuk tujuan pengesahan kewangan yang disiasat atas pengadu melalui 14 transaksi dengan jumlah RM655,000,” katanya.
Jelas Abdul Malik, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Nilai membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan dan tangkap suspek.
“Pihak polis menasihatkan orang awam supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa sekiranya menerima sebarang panggilan telefon yang mencurigakan dan tidak memberikan maklumat bank kepada individu tidak dikenali,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.