comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penguat kuasa disyaki minta dan terima rasuah RM10,000 ditahan

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan seorang anggota agensi penguat kuasa dan seorang pemandu lori, semalam kerana disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM10,000 bagi menyelesaikan satu kes kecurian.

Majistret Mahkamah George Town, Mohamad Azlan Basri mengeluarkan perintah reman selama dua hari sehingga 27 Julai terhadap anggota agensi penguat kuasa berkenaan.

Manakala pemandu lori terbabit dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga 29 Julai.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 30-an telah ditahan kira-kira jam 10 malam hingga 12 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat meminta dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM10,000 daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk menyelesaikan satu kes kecurian membabitkan tunangnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Haji Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini