BAYAN LEPAS: Gara-gara hutang kasut, penghantar kurier luka di dahi akibat dikelar kenalannya, di Pasar Bukit Gedung, Bayan Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 31 tahun dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, menurut laporan yang dibuat mangsa, kejadian berlaku pada jam 3.30 petang.
Sazalee berkata, ketika pertemuan antara kedua-duanya di pasar berkenaan, suspek dikatakan bertanya kepada mangsa mengenai wang ganti rugi kasut dan wang yang pernah dibelanjakan kepada mangsa terbabit.
“Semasa perbincangan itu, tercetus pertengkaran mulut dan insiden tolak sebelum berlaku pergelutan.
“Suspek mengeluarkan pisau dan menghayun ke dahi mangsa sehingga menyebabkan luka di dahi selain di bawah mata kanan akibat pergelutan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sazalee berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa dan suspek adalah kenalan sejak 20 tahun lalu.
Katanya, suspek berusia 41 tahun itu adalah penganggur dan tiada rekod lampau.
“Kejadian dipercayai berpunca berikutan suspek minta mangsa bagi menyelesaikan bayaran hutang kasut dan wang yang pernah suspek belanjakan kepadanya.
“Suspek sudah ditahan dan kita akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Balik Pulau bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.