comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pengemis miliki Proton X70

Oleh: Fazli Ahmad

MARAN: Seorang pengemis berpura-pura tidak boleh bercakap dan bisu ketika meminta sedekah di Tapak Pasar Malam Sri Jaya, Maran ditahan bersama sejumlah wang dan Proton X70.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang berkata hasil pemeriksaan terhadap lelaki terbabit pegawai penguat kuasa turut menemui sejumlah wang dipercayai diraih hasil kegiatan meminta sedekah di pasar malam terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pengemis terbabit berasal dari Balok, Kuantan dan datang ke Sri Jaya dengan memandu sendiri Proton X70.

Katanya, lelaki terbabit ditahan ketika JKM melancarkan operasi membanteras pengemis di Tapak Pasar Sri Jaya, dekat sini kira-kira jam 6:30 petang semalam.

“Ketika operasi dilakukan, seorang lelaki berjubah dan berkopiah dikesan berdiri di celahan payung peniaga pasar malam sambil memegang beg kertas sambil meminta simpati orang ramai.

“Pemantauan mendapati kedua-dua tangan lelaki itu kelihatan kecil tidak seperti tangan manusia normal.

“Selepas dihampiri dan disoal tujuan lelaki terbabit meminta sedekah, pengemis terbabit berpura-pura pekak dan bisu,” kata jurucakap terbabit.

Menurutnya, pada peringkat awal lelaki terbabit juga tidak memberi kerjasama termasuk enggan memberi kad pengenalan selepas diminta berulang kali.

Katanya, selepas didesak lelaki terbabit bersuara dan memaklumkan kad pengenalan serta kad OKU ada di dalam kenderaan miliknya.

“Lelaki terbabit kemudian membawa pegawai penguat kuasa JKM ke sebuah kenderaan model Proton X70.

“Selepas ditanya siapa pemilik kenderaan itu, lelaki terbabit mengakui Proton X70 itu miliknya dan mengakui melakukan kegiatan mengemis di beberapa pasar malam seluruh Pahang.

“Pengemis terbabit mengakui meraih pendapatan antara RM400 hingga RM500 untuk tempoh lima jam menerusi kegiatan meminta sedekah di pasar malam,” katanya.

Jurucakap terbabit berkata, hasil semakan mendapati lelaki terbabit menerima Elaun Pekerja OKU daripada JKM berjumlah RM450 sebulan sejak 2001.

Loading...
Terkini