comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pengedar Dadah Cuba Langgar Anggota Polis

Foto: Harian Metro

SANDAKAN: Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar Perodua Kenari di kawasan parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, dekat Batu 12, hari ini, selepas pemandu cuba merempuh pihak berkuasa.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, suspek bertindak agresif dan hampir melanggar salah seorang anggota serbuan.

Video kejadian itu tular di media sosial menunjukkan beberapa individu cuba menahan sebuah kenderaan.

Turut kedengaran suara wanita memaklumkan terdapat tembakan dilepaskan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, lima anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Sandakan cuba menahan pengedar dadah di kawasan tempat letak kereta di PPR terbabit.

Menurutnya, suspek dilaporkan hampir melanggar salah seorang anggota polis.

“Keadaan itu memaksa anggota melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kereta untuk menghentikan kenderaan daripada merempuhnya.

“Dalam masa sama, anggota lain cuba menghentikan kenderaan dengan memecahkan cermin hadapan menggunakan walkie-talkie. Keadaan itu menyebabkan terdapat kesan hentakan pada cermin hadapan kereta suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun suspek meloloskan diri.

“Namun, polis berjaya menemui dan merampas kenderaan suspek yang ditinggalkan di tepi jalan raya kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

“Susulan itu, usaha mengesan suspek giat dijalankan ketika ini.

“Sekiranya mana-mana pihak mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan R Jas Dewd di talian 013-3598455,” katanya.- HARIAN METRO

Loading...
Terkini