Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Terdesak dengan masalah kewangan yang dihadapi, seorang pengawal peribadi bersekongkol dengan seorang penganggur untuk menyamar sebagai anggota polis dan melakukan kegiatan samun.
Bagaimanapun tindakan itu gagal apabila mangsa sempat menghubungi pihak polis, menyebabkan kedua-dua suspek ditahan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata kejadian berlaku pada 7 Disember sekitar 11 malam di sebuah rumah di Taman Usahawan, Kepong.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis untuk melakukan pemeriksaan rumah, pengadu mencurigai tindakan yang dilakukan suspek dan seterusnya bertindak menghubungi Balai Polis Kepong untuk meminta bantuan.
“Suspek kemudiannya merampas telefon bimbit milik mangsa.
“Daripada panggilan pengadu yang sempat hubungi polis, anggota polis terus ke tempat kejadian, dan suspek masih berada di tempat kejadian,” katanya.
Ketika kejadian, kedua-dua suspek yang berusia 55 tahun dan 42 tahun, hanya memakai pakaian biasa dan tidak memakai ves polis, selain dipercayai menyalahgunakan pistol milik syarikat untuk tujuan pemerasan.
Polis merampas sepucuk pistol dengan 10 butir peluru, dan sekeping kad lesen senjata api milik syarikat pengawal keselamatan, selain dua buah telefon bimbit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata api.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.