comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Pengawai dan anggota polis yang terlibat dalam pertubuhan haram mungkin dibuang kerja. 

 

 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

Kuala Terengganu: Susulan kes pertubuhan haram Ayahanda Harimau Kumbang yang turut dianggotai pegawai dan anggota polis tumpas selepas ahlinya dicekup dalam Op Selendang di Dungun.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kesemua mereka bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, IPD Kuala Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.

Aktiviti kumpulan itu dikesan hasil risikan dijalankan Bukit Aman selepas Pertubuhan itu bergerak aktif sejak tahun 2021.

Selain 2 pegawai dan 12 anggota polis, tujuh orang awam ditahan iaitu ayahanda pertubuhan itu iaitu Ayahanda Husin Kumbang dan anak lelakinya selain empat orang kuat kongsi gelap tersebut digelar Ayah Mie Black, Ayah Am Boya, Ayah Che Mat dan Ayah Mie Castello.

Mereka di tahan dalam operasi khas yang dijalankan jam 6.40 petang, Jumaat lalu dalam Op Selendang yang dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D-7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Bukit Aman di sebuah rumah di Dungun.

Masing-masing yang ditahan berusia 20 hingga 49 tahun.

Kes masih dalam siasatan dan kesemua pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan pertubuhan haram itu ketika ini ditahan kerja.

“Untuk makluman menyertai pertubuhan haram ini adalah termaktub kesalahan di bawah seksyen 43 atau akta pertubuhan 1966 dan mereka yang memiliki senjata juga dituduh di bawah seksyen 7(1) Akta Bahan Letupan dan Senjata Berhahaya 1958 dan jadi aktiviti mereka menyertai pertubuhan haram bagi pasukan polis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 43 sekiranya positif terlibat mungkin berdepandengan tindakan buang kerja bergantung pada siasatan yang dilakukan”.

Pertubuhan haram Harimau Kumbang itu disahkan juga sebagai serpihan dari Persatuan Selendang Merah yang berdaftar.

Jelasnya lagi, hasil siasatan awal mendapati mereka yang ditahan turut terlibat membantu pertubuhan haram itu mengutip hutang Ah Long dan juga aktiviti menarik kereta.

Bagaimanapun tidak semua mereka yang ditahan terlibat dengan aktiviti jenayah.

“Saya pun keliru, dan tertanya-tanya, mengapa kita (polis) dah pakai baju biru dan ada harimau polis nak jadi harimau kumbang pula,” ujarnya.

Berikutan itu, pihaknya akan memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewartakan pertubuhan itu sebagai pertubuhan haram dalam tempoh terdekat.

Sembilan suspek direman empat hari bermula tarikh tangkap dan 11 lagi direman dua hari sehingga semalam.

Polis turut merampas beberapa barangan termasuk peralatan ritual mengangkat sumpah sebagai ahli pertubuhan, lapan buah kenderaan, 28 telefon bimbit, dan enam bilah pedang.

Datuk Rohaimi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat bersabit pertubuhan haram itu supaya membantu polis dengan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu.

Loading...
Terkini