comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pengasuh taska disyaki dera bayi akan didakwa esok

Pasangan suami isteri (nombor tiga dan empat dari kiri) dalam sidang media pada 3 Jun lalu mengenai penderaan yang dialami anak mereka.

KAJANG: Pengasuh yang disyaki mendera bayi perempuan berusia 17 bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bandar Mahkota Cheras, di sini, akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang pada jam 8.30 pagi.

Buletin TV3 sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri mendakwa anak tunggal mereka disumbat makanan dan ditarik rambut oleh pengasuh sebuah taska.

Terdahulu media melaporkan, Mohd Zaid mengesahkan menerima laporan kes daripada bapa bayi pada 7.36 malam 29 Mei lalu.

Beliau dilaporkan berkata, dalam laporan lelaki itu yang juga pemandu e-hailing mendakwa anaknya diperlakukan dengan kasar ketika disuap makan, dengan rambutnya ditarik serta dipicit hidung.

Katanya, akibat kekasaran itu hidung anak pengadu mengalami kecederaan dan pemeriksaan di hospital mengesahkan bayi itu mengalami ‘soft tissue injury’.

Sebelum itu, pasangan suami isteri terbabit dalam satu sidang media mendakwa mengetahui kejadian itu selepas menerima beberapa rakaman video dan gambar menerusi aplikasi WhatsApp yang dikongsi oleh bekas pekerja taska pada 28 Mei lalu.

Dalam rakaman berkenaan kelihatan seorang wanita dipercayai pengasuh menyumbat makanan ke dalam mulut seorang bayi secara paksa menyebabkan bayi itu menangis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini