comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pengarah urusan antara dua direman, disyaki kemuka butir matan palsu 

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka telah menahan reman dua individu termasuk seorang pengarah urusan sebuah syarikat konsesi pengiklanan kerana disyaki mengemukakan laporan yang dipercayai mengandungi butir matan palsu kepada sebuah agensi kerajaan negeri bagi mengelak bayaran balasan (royalti) papan iklan di seluruh negeri tersebut.

Kedua-dua suspek lelaki berusia 40-an direman selama lima hari sehingga 14 September 2024 yang dikeluarkan oleh Majistret Khairunnisak Hassni selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berbangsa Cina telah ditahan kira-kira jam 3 petang pada Isnin (9 September 2024) ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021.

“Kedua-dua suspek disyaki telah mengemukakan laporan iklan kepada sebuah agensi kerajaan negeri yang mempunyai butiran matan palsu dengan melaporkan jumlah iklan yang kurang daripada jumlah sebenar,” katanya.

Sebelum ini, pertengahan Julai lalu, media melaporkan terdapat dua papan iklan yang tumbang di Bachang dan Banda Hilir, Melaka didapati tidak mempunyai lesen dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan berkemungkinan disebabkan tidak mengikut prosedur pemasangan ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini