comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pengarah syarikat diacu senjata, barang kemas RM1.2 juta dirompak

Barangan kemas terbabit seberat kira-kira lima kilogram dan baru diambil dari kilang di Pulau Pinang

PETALING JAYA: “Kejadian berlaku sekelip mata. Ketika mahu keluar daripada kereta, saya diacu pistol, kapak serta pisau sebelum beg berisi barangan kemas bernilai RM1.2 juta disamun tiga penjenayah,” kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Choe.

Mengimbau detik cemas itu, Choe yang juga pengarah sebuah syarikat berkata, dia diacu senjata terbabit pada kejadian di parkir sebuah pasar raya di Damansara di sini, jam 7.40 malam, Sabtu lalu.

“Saya menjalankan perniagaan barangan kemas dan ketika kejadian, ibu saudara yang berusia 69 tahun turut ada bersama.

“Kami baru tiba di parkir pasar raya berkenaan dan ketika mahu keluar daripada kereta, tiba-tiba datang tiga lelaki bertopeng mengacukan senjata ke arah saya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurut Choe, penjenayah kemudiannya melarikan beg berisi barangan kemas berkenaan.

“Kami bernasib baik kerana tidak dicederakan,” katanya.

Katanya, penjenayah juga memakai sarung tangan dan melarikan diri dengan menaiki kereta.

Difahamkan, barangan kemas itu seberat kira-kira lima kilogram dan baru diambil dari kilang di Pulau Pinang.

Choe kemudian melaporkan kejadian di Balai Polis Damansara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya sedang memburu empat suspek yang terbabit dalam kejadian terbabit.

“Hasil siasatan awal menerusi semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek menunggu di dalam kereta sehingga mangsa tiba.

“Semasa mangsa mahu keluar dari kenderaan, tiga suspek bersenjatakan objek berbentuk seperti pistol dan kapak menyamun beg galas dibawanya.

“Beg itu mengandungi barangan kemas (barang perhiasan diri) milik syarikat mangsa.

“Selepas itu, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta yang belum dapat dipastikan jenisnya,” katanya lagi.

Menurut Shahrulnizam, keempat-empat suspek memakai menutup muka dan menggunakan senjata disyaki objek berbentuk pistol serta kapak.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini