TAWAU: Berang bekas isteri kerap keluar bersama rakan menyebabkan seorang lelaki bertindak membuat ugutan jenayah dan mengugut untuk menetak mereka, pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 36 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan polis di kawasan berhampiran gerai makan, Jalan Chen Fook dekat sini, 4.20 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek sebelum itu yang tidak berpuas hati dengan wanita berusia 31 tahun itu bertindak menghubungi mangsa kira-kira 10 malam, pada Jumaat.
Menurutnya, suspek yang juga seorang penganggur itu mengugut mahu menetak mangsa bersama bekas isterinya kerana tidak berpuas hati wanita itu kerap membawa bekas isterinya keluar tanpa kebenarannya.
“Menerusi panggilan telefon itu, suspek dikatakan menyatakan niat untuk menetak mangsa dan rakan mangsa (bekas isteri).
“Mangsa yang bimbang dengan ugutan suspek kemudian membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, susulan itu polis berjaya mengesan suspek sebelum menahannya pada petang semalam dan merampas satu telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Menurutnya lagi, suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan pernah ditangkap atas kesalahan menceroboh.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.