GEORGETOWN: Seorang penganggur yang memiliki 12 rekod lampau berkaitan dadah bukan setakat menumpang di rumah kakaknya, malah turut menjadikan rumah di Seberang Jaya itu sebagai makmal memproses dadah jenis heroin.
Kegiatannya terbongkar selepas dia ditahan polis di depan sebuah premis tidak jauh dari rumah berkenaan jam 2 petang Khamis lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sejurus ditahan, suspek, 40, membawa polis ke rumah teres yang turut didiami kakak dan abang ipar berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dan pemeriksaan menemui beberapa peralatan memproses dadah.
“Kita juga memeriksa sebuah Perodua Alza yang diparkir di tepi jalan kira-kira 600 meter dari rumah itu sebelum menemukan 7.4 kilogram dadah disyaki heroin.“Dadah dianggar bernilai RM61,400 itu dibungkus dalam plastik lutsinar dan diletak di bahagian belakang kenderaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kok Chin berkata suspek yang aktif dalam kegiatan berkenaan sejak awal tahun 2023 itu dipercayai memperoleh dadah berkenaan dari negara jiran bagi pasaran tempatan termasuk negeri berhampiran.
Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 37,000 penagih sekiranya ia lolos di pasaran.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai sebanyak 12 rekod lampau berkait dadah serta baru dibebaskan dari tahanan setahun lalu,” katanya.
Menurut Kok Chin, suspek direman tujuh hari sehingga 1 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.