comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penganalisa sistem terima gaji RM12,000 daripada sindiket judi ‘online’

Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail (dua dari kanan) dan pegawainya menunjukkan pelbagai peralatan perjudian dalam talian yang dirampas dalam serbuan – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pengaturcara perisian menerima gaji sehingga mencecah RM12,000 sebulan daripada sindiket untuk menghasilkan aplikasi judi dalam talian yang mensasarkan pelanggan luar negara.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, modus operandi itu dikesan dalam serbuan di dua apartmen di Jalan Tun Razak, pada 27 Jun lalu.

Malah, selain gaji mereka juga menyamar seperti syarikat biasa dengan memberikan manfaat kerja lain termasuk caruman PERKESO.

“Mereka merekrut individu mahir dalam sistem pengkomputeran dan akan berperanan untuk menghasilkan perisian bagi laman sesawang perjudian dengan menyasarkan pembeli atau pemain di luar negara.

“Mereka dibayar dengan lumayan iaitu antara antara RM5,000 hingga RM12,000.” katanya pada sidang media hari ini.

Siasatan mendapati sindiket itu yang bergiat sejak enam bulan lalu mendapat keuntungan kira-kira RM50,000 sehari bagi setiap perisian yang dijual kepada pihak ketiga.

Polis menahan 15 individu termasuk dua warga China dalam serbuan pertama, kira-kira jam 3 pagi.

“Dalam serbuan kedua pula, polis menahan sembilan individu termasuk tujuh warga China dilakukan jam 3 petang, hari sama,” katanya.

Polis merampas pelbagai barangan termasuk komputer, kad akses, komputer riba, telefon bimbit dan router.

Jelasnya, hasil siasatan dilakukan mendapati, dua serbuan itu membabitkan dua sindiket berlainan yang aktif sejak enam bulan lalu.

“Sindiket itu menjadikan unit apartmen yang disewa di Jalan Tun Razak sebagai pejabat bagi pekerja termasuk ‘programmer’ itu.

“Semakan dilakukan mendapati sembilan warga China yang ditahan dalam serbuan itu masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial,” katanya yang berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.

Dalam kes berlainan, Mohamad Lazim berkata, tiga lelaki yang aktif mencuri motosikal di sekitar Wangsa Maju sejak beberapa tahun lalu berjaya ditahan polis menerusi Op Roda/Lejang, bulan lalu.

“Dalam serbuan pada 26 Jun, polis merampas empat motosikal Yamaha 135LC, sebuah motosikal model Honda serta beberapa komponen motosikal.

“Berdasarkan rampasan itu, kami percaya berjaya menyelesaikan empat kes curi motosikal di daerah ini yang dipercayai didalangi tiga individu,” katanya.

Katanya, hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati kesemua suspek berkenaan negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini