BATU PAHAT: Tiga lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan dalam kes penemuan rangka manusia dalam sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata perintah reman dikeluarkan terhadap ketiga-tiga suspek sehingga 27 Januari ini.
“Perintah reman terhadap semua suspek berusia 24 hingga 39 tahun itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail berkata, bedah siasat ke atas rangka yang ditemui itu sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, pagi tadi.
Katanya, sampel patologi daripada Jabatan Forensik HSI juga sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti si mati.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman, dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan ujian DNA terhadap sampel diambil dari lokasi penemuan rangka itu secepat mungkin.
Katanya, sampel DNA turut diambil daripada ibu dan kakak Bella untuk dianalisa.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada rangka ditemui itu adalah Bella atau individu lain.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek yang ditahan termasuk teman lelaki dan bapa saudara teman lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan rangka yang tidak sempurna itu.