Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Penemuan mayat tidak berbaju, polis tahan dua lelaki

 

KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki tidak berbaju dalam sebuah lori di sebuah tempat letak kenderaan di Danau Kota, Setapak di sini awal pagi tadi.

Penemuan mayat yang juga seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun selepas polis menerima laporan daripada adik perempuan mangsa yang berusia 56 tahun pada jam 1.48 pagi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke HKL untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian telinga dan bengkak di bahagian kepala dan bahagian pipi.

“Selain itu, terdapat kesan luka di bahagian mata,lebam di bahagian bahu dan tulang dada serta terdapat kesan darah dari dalam mulut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil maklumat diperolehi, polis kemudian menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 36 dan 37 tahun di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan permohonan reman ke atas kedua suspek akan dibuat dalam masa terdekat.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati,” katanya.

Loading...
Terkini