Tumpuan :
Jenayah

Penemuan 8 tong sisa kimia, polis buka kertas siasatan, kesan pelaku

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung penemuan lapan tong berisi cecair dipercayai sisa kimia yang dibuang dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi, hari ini, memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana bencana terhadap tali air.

Katanya, sampel bahan kimia berkenaan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, lapan tong berkenaan sudah dibawa ke tapak pelupusan selamat di Bukit Tagar, malam tadi.

“Berdasarkan semakan awal yang dilakukan mendapati sisa kimia berkenaan disyaki sebagai larutan ammonia.

“Kami sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu (pembuangan bahan kimia berkenaan) bagi mengesan pelaku,” katanya.

Semalam, media melaporkan lapan tong berisi cecair dipercayai sisa kimia dibuang dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh.

Semua tong berkenaan ditemui Selasa lalu sebelum dimaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) jam 9 malam.

Difahamkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor masih menjalankan pemantauan di lokasi untuk mengelak kejadian tidak diingini selain dibantu unit HAZMAT untuk tugas mengambil sampel.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini