JEMPOL: Kelalaian penghuni sebuah rumah mengunci pintu belakang, membuka peluang pencuri menyelinap masuk ke dalam kediaman itu.
Namun, selepas mengambil beberapa barang, pencuri yang menemui minuman keras milik penghuni rumah itu minum sehingga mabuk dan kemudian tertidur di ruang tamu rumah.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata penghuni ( pengadu) rumah berusia 65 tahun terkejut apabila melihat suspek sedang berbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu rumahnya ketika bangun daripada tidur pada jam 6.15 pagi, semalam.
Katanya, pengadu melihat ada beg kertas yang mengandungi dua pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet berada bersebelahan suspek.
“Pengadu syak kesemua barangan itu adalah miliknya namun tidak sempat dibawa lari, berikutan suspek mabuk dan kemudian tertidur.
“Suspek berusia 41 tahun kemudian berjaya ditangkap selepas pengadu menghubungi polis dan semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 15 rekod dadah, enam jenayah dan satu rekod dikehendaki berkaitan kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Chang Hook berkata, ketika rumahnya dimasuki suspek, pengadu tinggal bersama isteri dan empat anak.
“Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, “katanya.