Oleh: Fazli Ahmad
PEKAN: Dua lelaki di bawah pengaruh dadah bertindak nekad menolak anggota polis dan cuba melarikan diri untuk mengelak menjalani ujian saringan air kencing selepas ditahan di sekatan jalan raya sempena ambang tahun baru di Kilometer Dua, Jalan Kuantan-Pekan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9:40 malam semalam, selepas menolak anggota polis, kedua-dua supek cuba melarikan diri memasuki kereta Perodua Axia yang ditahan sebelum itu.
Menurutnya, susulan kejadian itu anggota polis bertindak menahan kedua-dua suspek dan menyebabkan berlaku pergelutan.
Katanya, dalam kejadian itu dua anggota polis turut tercedera.
“Kedua-dua suspek ditahan semula dan tangkapan dibuat menggunakan kekerasan minimum serta tiada sebarang salah laku dilakukan polis,”
“Bagaimanapun visual kejadian itu tular di media sosial dan memberi gambaran negatif kepada polis,”
“Orang ramai perlu lebih bertanggungjawab dan tidak menyebarkan visual penugasan dilakukan polis dengan tujuan negatif,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, hasil saringan air kencing terhadap dua suspek berusia 20 dan 31 tahun terbabit disahkan positif dadah jenis “meth”.
Menurutnya, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.