![](https://media.buletintv3.my/2022/10/GEN-POLIS-JENAYAH-LOGO-PDRM-GARI-2.jpg)
RANAU: Polis menahan seorang pemuda yang disyaki mengintai dan merakam seorang wanita di dalam tandas di sebuah stesen minyak, di sini, baru-baru ini.
Suspek berusia 19 tahun itu didakwa menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam mangsa yang sedang membuang air kecil di dalam tandas berkenaan pada malam 29 April lalu.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin, berkata terdahulu mangsa bersama suami dalam perjalanan ke Kota Kinabalu dan singgah di stesen minyak terbabit untuk berehat serta menggunakan tandas.
Bagaimanapun ketika membuang air kecil, beliau berkata, mangsa dikatakan menyedari terdapat pergerakan mencurigakan di atas dinding tandas terbabit sebelum mengesan ada telefon sedang membuat rakaman terhadapnya.
“Mangsa kemudian bergegas keluar dari tandas dan mengenal pasti lelaki disyaki melakukan rakaman itu.
“Justeru dengan bantuan suami mangsa, lelaki itu ditangkap lalu dibawa ke Balai Polis Ranau. Suspek diserahkan kepada polis sementara mangsa membuat laporan susulan kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Simiun berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan dan menangkap semula suspek terbabit.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Sabah (OKKNS).
Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kes seumpama itu, dan membantu menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah, kemalangan jalan raya serta salah laku, kepada polis untuk tindakan segera.