comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pemilik stesen minyak ditahan, kes seleweng petrol

FOTO: Ihsan KPDN

TANAH MERAH: Dua lelaki termasuk pemilik stesen minyak ditahan pihak berkuasa bagi siasatan kes berhubung aktiviti penyelewengan petrol.

Terdahulu, pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang lelaki berusia 47 tahun disyaki penyeludup di stesen minyak di Kampung Chedok, di sini, petang semalam.

Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, pihaknya mengesan sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang lelaki yang membuat pengisian berulang di beberapa stesen minyak sekitar pada jam 6 petang.

“Pasukan kami menahan kenderaan itu dan pemeriksaan lanjut menemui 75 liter petrol yang terkandung dalam sejumlah tong plastik dimuatkan dalam kereta terbabit.

“Barang kawalan itu disyaki untuk diseludup ke Thailand menerusi lorong tikus yang terdapat di sekitar Bukit Bunga,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, dua lelaki itu termasuk pemilik stesen minyak yang berusia 40-an ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya lagi, masih ada yang ingkar arahan tidak dibenarkan pengisian berulang dalam tempoh kurang satu jam bagi kenderaan sama dan pihaknya membuat pemantauan rapi berhubung perkara itu.

Sebanyak 48 daripada 245 stesen minyak di Kelantan berada dalam radius 25 kilometer (km) dari sempadan diberi perhatian bagi mengelak pembelian berulang petrol RON95.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata pengisian berulang tidak dibenarkan dalam tempoh kurang satu jam bagi kenderaan sama.

“Kami mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan pemantauan dan rondaan pencegahan ketirisan barang kawalan di stesen-stesen minyak yang terletak berhampiran sempadan negara.

“Amaran keras diberikan kepada individu yang terbabit dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan malah tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini