Tumpuan :
Jenayah

Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@BumiLangit, ditahan kerana hina Agong

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Pemilik akaun Twitter, Zulfadzli@BumiLangit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini kerana menghina Yang di-Pertuan Agong dan memuat naik video berunsur perkauman di Twitter.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata lelaki berusia 39 tahun itu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 November untum membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988

“Kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, hantaran lelaki terbabit memaklumkan beliau dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk membantu siasatan yang tular di media sosial.

Lelaki terbabit mendakwa tidak mengetahui kesalahan dilakukan dan hanya dimaklumkan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Loading...
Terkini