Oleh Selwam Arjunan
BUKIT MERTAJAM : Polis sedang mengesan seorang pembantu rumah warga asing yang dipercayai melarikan diri dari rumah majikan selepas mencuri barang kemas bernilai RM69,000 di Taman Bukit, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Tan Cheng San berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada majikan iaitu seorang lelaki yang bekerja sebagai doktor di sebuah hospital kerajaan, 33 tahun, dua hari selepas kejadian.
“Pada hari kejadian, pengadu menyedari pembantu rumah, Eka Lestari, 27, yang bekerja tiga bulan di rumahnya hilang lebih kurang jam 6 pagi.
Pengadu membuat laporan polis mengenai kehilangan pembantu rumah, namun tidak menyedari kehilangan barangan di rumahnya.”
“Hanya apabila mahu menggunakan barang kemas tersebut dua hari kemudian, pengadu menyedari ia hilang dan khuatir pembantu rumah telah melarikan barang kemas bersamanya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT, siang tadi.
Katanya, lebih 10 barang kemas termasuk rantai, gelang, subang dan loket, kesemuanya emas yang disimpan dalam almari berkunci di sebuah bilik dan dipercayai diambil suspek menggunakan kunci.
Suspek juga telah membawa passport bersamanya, namun majikan menyimpan salinan muka surat pasport, yang kemudiannya digunakan polis untuk mengesan suspek.
Rakaman kamera litar tertutup rumah jiran mendapati, suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta yang menunggu di luar rumah pengadu pada jam 1 pagi.
“Pihak polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek menghubungi Inspektor Mohamad Suhaimi Ismail di talian 019-2909231.”
“Selain itu, orang awam yang mahu menggaji pembantu rumah juga dinasihati mendapat khidmat ejen pembantu rumah berdaftar bagi tujuan jaminan dan bukannya penggajian secara terus seperti dalam kejadian ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mencuri.