SHAH ALAM: Cubaan seorang lelaki menyeludup sejumlah 8.04 kilogram (kg) dadah disyaki syabu ke Sabah tidak berjaya selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), pada 7 November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA bersama Polis Bantuan MAHB KLIA 2, kira-kira jam 5.30 pagi.
“Modus operandi adalah suspek diberikan tiket penerbangan daripada Kota Kinabalu dan dia datang dua hari sebelum ditangkap.
“Suspek menginap di sebuah hotel di Putrajaya dan sindiket menghantar bekalan dadah ke hotel serta memberi tiket penerbangan pulang kepada suspek.
“Ada dua suspek dalam kes ini yang mana seorang lagi terlepas ketika ‘check in’.
“Kita sampaikan maklumat kepada Polis Sabah dan dia ditahan apabila tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu bersama 23.5 kg,” katanya sidang media di MES Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran diberi upah RM5,000 untuk melaksanakan ‘tugasan’ berkenaan yang mana kali pertama dilakukannya pada September lalu.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod dadah dan saringan awal air kencing positif dadah Amphetamine dan Methamphetamine.
“Nilai rampasan dadah berjumlah RM257,300 dan dipercayai untuk pasaran sekitar Sabah.
“Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.