comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pemandu lori ditahan, buat penghantaran dadah secara COD

Foto: NSTP

TAWAU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan modus operandi bayaran tunai semasa penghantaran (COD) didalangi lelaki tempatan di sini, Isnin lalu.

Kegiatan pemandu lori berumur 39 itu terbongkar selepas dia ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di kawasan Megah 2 di sini, jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemui  9.98 gram dadah jenis ganja.

Dengan dipandu arah suspek, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas, jam 1.40 tengah hari pada hari sama.

Foto: NSTP

“Pemeriksaan di rumah itu, polis menemui 3,322.72 gram ganja mampat dalam pelbagai bentuk dan saiz menyerupai biskut termasuk yang disimpan di dalam balang kaca.

“Suspek dipercayai memperoleh ganja berkenaan dari luar daerah ini selain bergerak aktif sejak setahun lalu dengan mensasarkan pelanggan tempatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Jasmin berkata modus operandi suspek adalah membuat penghantaran dadah kepada pelanggan secara COD selepas mendapat pesanan daripada pelanggan dengan harga serendah RM100 bagi setiap 5 gram ganja berkenaan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis ganja tetrahydrocannabinol (THC), selain mempunyai dua rekod jenayah lampau dan pernah disabitkan dengan Seksyen 15 (1)(a) Aktad Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek direman tujuh sehingga 1 Oktober depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini