KULAI: Pemandu e-hailing kerugian RM218,000 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima aduan daripada lelaki tempatan berusia 49 tahun berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, kelmarin.
Katanya mangsa berminat untuk membuat pelaburan yang menjanjikan keuntungan sebanyak tiga hingga lima peratus dalam tempoh tiga hari.
“Suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi perkhidmatan kewangan milik mangsa.
“Tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa membuat tujuh kali transaksi pembayaran berjumlah RM218,000 ke dalam tiga akaun tempatan berlainan bermula 16 Oktober hingga 13 November lalu.
“Mangsa juga mendakwa membuat semakan pada aplikasi perkhidmatan kewangan miliknya dan mendapati keuntungan yang diperoleh sebanyak RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Tan, mangsa cuba membuat pengeluaran wang dalam aplikasi itu, namun akaun itu disekat.
“Mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.
Kes disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan iaitu tipu pelaburan tidak wujud.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.