comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pemandu Bot Pelancong Antara Ditahan Edar Dadah

Foto: NSTP

LANGKAWI: Polis menahan seorang pemandu bot pelancong dan dua nelayan serta merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih satu kilogram bernilai RM160,705 dalam tiga serbuan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata dalam serbuan pertama pada jam 6 pagi di Kampung Baru Sungai Menghulu, pihaknya menahan suspek pertama berusia 42 tahun.

“Pemeriksaan menemukan dadah disyaki syabu seberat 78.70 gram (g) dan heroin seberat 19.60g dalam bekas berzip bercorak celoreng dipegang suspek yang juga seorang nelayan.

“Serbuan kedua, kira-kira dua jam selepas itu di sebuah rumah di Taman Nilam, kami menahan seorang nelayan berusia 46 tahun dan merampas dadah heroin seberat 6.50g, syabu (12.20g) dan ganja (1.24g),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Kampung Padang Mengkuang pada jam 9.45 pagi, pihaknya menahan pemandu bot pelancong berusia 37 tahun dan merampas dadah syabu seberat 975.70g dan heroin (2.10g).

“Keseluruhan dadah dirampas bernilai RM160,705 dan hasil ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati positif dadah methamphetamine.

“Suspek pertama disiasat bawah Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, suspek kedua Seksyen 39A(2), 39A(1), 6 dan 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Beliau berkata, suspek ketiga disiasat bawah Seksyen 39B, 39A(1) dan 15(1)(a) ADB 1952. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini