Tumpuan :
Jenayah

Pemandu bas tular guna telefon disaman

Tangkap layar daripada video tular menunjukkan pemandu bas menggunakan telefon ketika memandu.

BUKIT MERTAJAM: Pemandu bas yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu disaman polis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan diambil mengikut Peraturan 17A LN166/59 kerana memandu menggunakan telefon tanpa alat bebas tangan.

Katanya, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 28 Mac lalu di Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan).

“Polis berjaya mengesan pemandu bas terbabit dan mengarahkan dia hadir ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, hari ini.

Jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Mohd Shuhaily berkata, ujian saringan air kencing ke atas pemandu bas itu mendapati dia bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Terdahulu tular video berdurasi 21 saat pada Jumaat lalu memaparkan seorang pemandu bas menggunakan telefon ketika memandu dan perbuatan itu mendapat reaksi netizen yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya.

Loading...
Terkini