![](https://media.buletintv3.my/2023/01/TEMPLATE-CMS-7-1024x538.jpg)
KUALA KRAI: Polis menahan seorang pemandu bas ekspres yang memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya menerusi Op Selamat, malam tadi.
Pemandu berusia 60-an itu ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai jam 11 malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan dibuat oleh seorang pengguna jalan raya yang melalui kawasan Laloh.
Katanya, bas ekspres berkenaan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kota Bharu memotong garisan berkembar menyebabkan kereta dipandu pengadu yang datang dari arah bertentangan terbabas dan hampir melanggar sebuah kenderaan lain ketika hendak mengelak.
“Pengadu kemudiannya cuba mendapatkan nombor pendaftaran bas ekspres itu dan membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Sebaik menerima laporan, pasukan kami melakukan risikan dan berjaya mengesan serta menahan pemandu bas berkenaan di Kilometer 74 Jalan Kota Bharu-Gua Musang pada jam 11 malam tadi.
“Pemandu bas kemudiannya dibawa ke BSPT IPD Kuala Krai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang dari RM5,000 atau tidak lebih daripada RM15,000,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Kamarulzaman berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 198 saman kepada pemandu atas pelbagai kesalahan dalam Op Selamat yang diadakan bermula 18 Januari sehingga hari ini.
Katanya, antara kesalahan utama ialah memandu di lorong kecemasan; memotong di garisan berkembar, memotong barisan, melanggar lampu merah, menggunakan telefon semasa memandu dan memandu melebihi had laju. 30 kemalangan turut direkodkan dalam tempoh itu.
Operasi penguatkuasaan seumpama itu akan diteruskan pada bila-bila masa bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas yang sudah ditetapkan.