RANTAU PANJANG: Dua lelaki termasuk seorang pelajar Tingkatan Lima ditahan polis dipercayai memiliki 6,000 biji dadah jenis pil kuda.
Kedua suspek terbabit ditahan dalam serbuan di belakang sebuah restoran makanan segera, di sini, jam 10 malam kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superitendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata ketika kejadian anggota bertugas dari Balai Polis Rantau Panjang sedang membuat rondaan sebelum terserempak dengan kereta yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota mengekori kenderaan berkenaan sebelum suspek berhenti di lokasi terbabit dan anggota menghampiri mereka sebelum memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa.
“Hasil siasatan juga mendapati suspek berusia 17 tahun adalah pelajar sekolah di Hulu Selangor manakala yang berusia 33 tahun adalah seorang buruh.
“Kedua-dua suspek kemudian ditahan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Nik Aminuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan tahan reman ke atas kedua-dua suspek selama tujuh hari bermula 29 April sehingga 5 Mei.
“Selain itu, semakan rekod lampau juga mendapati suspek berumur 33 tahun mempunyai dua rekod lampau berkait dengan penyalahgunaan dadah.
“Susulan penangkapan membabitkan pelajar terbabit, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak serta akan mengambil tindakan tegas bagi menangani jenayah sebegini,” katanya.