PETALING JAYA: Polis merampas 6 kilogram kek mengandungi dadah jenis ganja hasil penahanan seorang pelajar kolej swasta di ibu negara.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata suspek dipercayai aktif menjalankan pengedaran ‘kek ganja’ sejak tiga bulan lalu.
Tambah beliau, tangkapan dibuat hasil serbuan pada jam 5 petang hingga 8 malam 25 Mac lalu.
Semakan mendapati suspek berusia 19 tahun itu tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
Polis katanya masih menyiasat punca bekalan ganja itu diperolehi.
Ujian saringan air kencing suspek didapati bebas sebarang jenis dadah.
Manakala dalam satu lagi serbuan, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun bersama 56 kilogram ganja bernilai RM166,000.
Turut dirampas 1 kg syabu dianggarkan bernilai RM26,000.
Dadah jenis ganja itu ditemui didalam bekas yang ditanam pada kedalaman 1 meter di satu kawasan tanah terbiar.
Suspek yang bekerja sebagai buruh kebun itu dipercayai berperanan menjaga bekalan dadah yang ditanam.
Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Kedua-dua suspek direman 7 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Siasatan masih dijalankan bagi mengesan ahli-ahli sindiket yang terlibat.