comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pelajar institut kemahiran didakwa lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak

Oleh : Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang pelajar tahun akhir sebuah institut latihan kemahiran berdepan hukuman penjara 20 tahun di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, di sini hari ini atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 20 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sedang mengikuti jurusan kejuruteraan elektrik didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Perbuatan itu dikatakan dilakukan di Jalan KS 1/5, Taman 1 Bukit Beruang di sini antara jam 4 petang hingga 9 malam, 14 November lalu.

Tertuduh turut berdepan satu lagi tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama di tandas awam dan bilik persalinan perempuan di sebuah kompleks tenis di Ayer Keroh pada jam 12 tengahari, 20 November lalu.

Difahamkan tertuduh yang mengikuti latihan di institut kemahiran yang beroperasi di Perak itu, mengenali mangsa melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu.

Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang boleh dipenjara 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, N. Shiva Sangari manakala tertuduh diwakili Peguam Andrew Lourdes.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut diarah tidak menggangu mangsa dalam apa juga keadaan.

11 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Loading...
Terkini