comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pelajar ditahan, bergaduh guna ‘steering lock’ 

Oleh: Fareez Azman

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang juga pelajar institusi pengajian tinggi swasta ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di jalan raya Pekan Dengkil, Sepang pagi tadi.

Menurut pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan GK Shan Gopal, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira kira jam 12.17 tengah hari tadi.

“IPD Sepang mengesahkan menerima laporan polis pada 3 Oktober 2024, jam 12.17 tengah hari daripada seorang lelaki mendakwa pengadu bersama rakannya pada jam 11.50 pagi telah dipukul oleh seorang lelaki menggunakan ‘steering lock’ di atas jalanraya di Pekan Dengkil.

“Kejadian ini telah dirakam oleh orang awam dan ditularkan di media sosial,” jelasnya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tangan manakala suspek berjaya ditahan berdasarkan maklumat diterima.

“Tangkapan telah dilakukan ke atas seorang lelaki berumur 20 tahun yang merupakan seorang pelajar IPTS. Turut dirampas satu steering lock yang digunakan sebagai senjata mencederakan mangsa.

“Motif kejadian adalah tidak puas hati semasa kedua-dua pihak sedang memandu di jalanraya di kawasan Jalan Air Itam menuju ke Pekan Dengkil,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman tersebut.

Kertas siasatan kemudian akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut. Orang ramai dinasihatkan agar tidak menimbulkan apa-apa spekulasi serta berkongsi berita tidak benar mengenai kejadian ini.

Video berdurasi 44 saat itu tular di media sosial memaparkan seorang lelaki bertindak menghayun beberapa kali pengunci stering terhadap dua mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini