comscore
Tumpuan :
Jenayah

Peka tanda bahaya pemangsa ‘love scam’ – Bukit Aman

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, ketika sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Polis memberi peringatan kepada individu yang sedang menjalin percintaan di alam maya untuk lebih peka dan berhati-hati dengan tanda-tanda bahaya atau ‘red flag’ agar tidak menjadi mangsa penipuan sindiket ‘love scam’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata masyarakat perlu cakna dan mengenali tanda penipuan seperti permintaan kewangan secara tiba-tiba oleh kenalan maya mereka.

Menurutnya, mereka yang menjalin cinta dengan kenalan di alam maya dan tidak pernah bersemuka dinasihatkan tidak mudah percaya kepada sesuatu cerita yang tidak konsisten atau profil yang terlalu hebat dipaparkan kenalan mereka.

“Kita perlu bersikap skeptikal dengan selalu mempersoalkan niat seseorang, terutamanya jika hubungan baharu dan membabitkan permintaan bantuan kewangan atau maklumat peribadi.

“Selain itu, gunakan sumber yang boleh dipercayai untuk memeriksa kesahihan individu melalui enjin carian atau berhubung dengan pihak berkuasa jika meragui kesahihan hubungan dalam talian,”katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK, di sini hari ini.

Ramli turut mengingatkan, mereka yang menjalinkan hubungan dalam talian perlu berbincang dengan rakan atau keluarga untuk mendapatkan pandangan.

Beliau memberi peringatan itu ketika mengulas satu kes ‘love scam’ terbaharu yang berlaku di Perak pada 9 September lalu membabitkan mangsa, seorang peguam wanita berusia 58 tahun.

Dalam kes itu, katanya mangsa berkenalan dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang mendakwa bekerja sebagai ahli geologi marin sekitar Julai lalu menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek kononnya datang ke Malaysia untuk projek pembinaan ‘underwater tank’ di perairan Terengganu. Namun, ketika sampai di Malaysia, semua wang tunainya telah dirompak.

“Suspek kemudian meminta pengadu untuk membantunya membawa masuk wang ke Malaysia dan mangsa membuat bayaran ke lapan akaun bank yang diberikan,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya mangsa membayar RM1,757,490 dan suspek berjanji keseluruhan wang itu akan dipulangkan semula kepada pengadu.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini