comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Pecah Rumah: Peti besi dan 4 jongkong emas usahawan wanita ditemui dalam Sungai Sembrong

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua minggu, polis akhirnya berjaya menyelesaikan kes pecah rumah usahawan wanita di Padang Balang, Sentul di sini, pada 4 Mac lalu membabitkan kerugian RM3.5 juta.

Polis turut berjaya menjumpai semula peti besi yang dilarikan selain empat jongkong emas, pelbagai barang kemas, beg berjenama serta wang tunai dianggarkan bernilai RM2.1 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata kes ini berjaya diselesaikan selepas empat suspek termasuk tiga wanita, kesemuanya warga tempatan berusia antara 22 hingga 36 tahun, ditahan pada 5 Mac lalu.

Menurutnya, empat suspek terbabit ditahan di Batu Pahat, Johor oleh Unit Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Selangor berkaitan kes pecah rumah yang berlaku di negeri itu.

“Menerusi tangkapan itu, polis Selangor merampas pelbagai jenis barang kemas, jam tangan serta pelbagai beg berjenama yang dipercayai hasil pecah rumah.

“Kesemua suspek kemudian direman oleh Polis Selangor sehingga 16 Mac lalu, sebelum diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes pecah rumah yang berlaku di Padang Balang pada 4 Mac lalu itu.

“Mereka direman sembilan hari sehingga 25 Mac ini dan hasil soal siasat, suspek mendedahkan lokasi peti besi yang dilarikan dalam kes itu.

“Dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, kita berjaya menemui peti besi berkenaan yang dibuang dalam Sungai Sembrong di Batu Pahat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini, hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan pada peti besi itu, polis menemui semula empat jongkong emas bernilai RM1 juta, yang gagal ditemui suspek kerana disimpan dalam petak tersorok dalam peti besi itu.

“Secara keseluruhan, kita menemui semula empat jongkong emas, 15 rantai emas, gelang emas (14), cincin emas (dua), beg berjenama (tujuh), dan masing-masing satu loket emas dan subang emas dengan nilai dianggarkan RM2.1 juta.

“Pihak polis turut menemui semula wang tunai RM60,000 daripada keseluruhan RM400,000 wang tunai yang dilarikan dalam kes ini. Kita masih mengesan bakinya,” katanya.

Allaudeen berkata kumpulan ini dipercayai terbabit dengan beberapa kes pecah rumah di Kelantan dan Selangor selain di ibu kota dengan modus operandi mereka menyasarkan ahli perniagaan dan pempengaruh media sosial.

“Siasatan mendapati suspek lelaki berusia 36 tahun adalah dalang utama kumpulan ini dan semakan mendapati dia mempunyai 20 rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah. Tiga suspek wanita turut mempunyai beberapa rekod lampau.

Allaudeen berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini