Tumpuan :
Jenayah

Pecah rumah: Dua sahabat dicekup bersama barang kemas, pedang 

Pelbagai jenis barangan kemas, telefon bimbit, satu bilah pedang dan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah di sekatan jalan raya di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini. -Foto: NSTP

KOTA BHARU: Dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah ditahan bersama barang kemas dan dadah di sekatan jalan raya di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, malam kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 33 dan 39 tahun itu ditahan jam 11.30 malam menerusi Op Taring Wawasan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata terdahulu pihaknya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam beg yang dipakai suspek menemui dadah jenis Estasy dan pemeriksaan di tempat duduk pemandu menemui satu pistol angin berserta kelopak.

“Pemeriksaan di belakang but kereta pula menjumpai pelbagai jenis barangan kemas, pelbagai jenis telefon bimbit, satu bilah pedang dan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek pertama berusia 39 tahun mempunyai 18 rekod jenayah dan suspek kedua berusia 33 tahun mempunyai lima rekod jenayah.

“Kedua-dua suspek juga positif Methamphetamine hasil ujian air kencing yang dilakukan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, siasatan awal terhadap suspek pertama mengaku barang yang dirampas adalah miliknya dan digunakan untuk tujuan pecah rumah.

Katanya, suspek juga mengaku barang rampasan seperti telefon bimbit, laptop dan barang kemas perhiasan yang disyaki emas adalah hasil pecah rumah.

“Namun tiada pengakuan daripada suspek di kawasan mana pecah rumah dilakukan setakat ini. Suspek kedua pula mendakwa mengikut suspek pertama untuk ke Golok, Thailand dan tiada pengetahuan berkenaan dengan barang kes yang dirampas.

“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam sehingga Jumaat ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini