Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Pecah cermin kereta dan samun pemandu

PETALING JAYA: Dua lelaki bersenjatakan kayu besbol dan parang memecahkan cermin pintu pemandu dan penumpang hadapan sebuah kereta untuk menyamun seorang lelaki yang mengeluarkan wang dari mesin ATM di Klang, Selangor.

Suspek kemudian melarikan sebuah beg komputer riba milik mangsa.

Kejadian berkenaan dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan dan tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah dalam satu kenyataan berkata
mangsa seorang lelaki berusia 40 tahun baharu mengeluarkan sejumlah wang dari mesin ATM sebuah bank di Jalan Meru pada jam 2 petang semalam.

Ketika menghala ke kawasan Bukit Tinggi, Klang, kereta dipandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat Persiaran Pegaga.

Dua lelaki tiba-tiba muncul dan memecahlan cermin pintu keretanya menggunakan kayu besbol dan parang.

Suspek kemudian memaksa mangsa menyerahkan beg komputer ribanya.

Mangsa yang ketakutan segera menyerahkan beg berkenaan sebelum suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Yaris berwarna perak

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan patah tulang jari tangan kiri dan luka calar di lengan tangan kanan.

Dia menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta berdekatan.

Kerugian dialami mangsa dianggarkan berjumlah RM6,000 iaitu kehilangan komputer riba dan kerosakan cermin kedua-dua pintu.

Polis kata Superintenten Kamalariffin menerima laporan berhubung kejadian itu jam 7.20 malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkawan dan mendatangkan kecederaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Loading...
Terkini