
KUALA LUMPUR: Tiga kenderaan mewah bernilai hampir RM1 juta hilang selepas disyaki dilarikan sekumpulan penjenayah dalam kejadian rompakan di sebuah bengkel di Kampung Bukit Lanjan, Damansara di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian disedari pekerja bengkel pada 10.39 pagi.Beliau berkata, pengadu mendapati ada kesan pecah pada mangga pintu masuk dan beberapa kunci kereta turut hilang.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk ke bengkel dengan memecahkan mangga pintu utama bengkel.
“Antara kenderaan yang dilarikan adalah sebuah Mercedes Bens E200K, Toyota Land Cruiser dan Nissan Skyline GTR Prestige dengan anggaran kerugian RM940,000.
“Kesemua kenderaan yang hilang itu milik pelanggan bengkel yang sudah siap dibaiki dan belum dituntut oleh pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amihizam berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bengkel berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 395A kanun sama.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan supaya menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – HARIAN METRO